PENUNGGU GEMBALA RIMBA
Angin bulan Februari bertiup kencang menyapu daun-daun di dahan getah yang kemerah-merahan. Ini menunjukkan tidak lama lagi musim pucuk daun muda akan tiba, dimana susu getah akan berkurangan. Telah menjadi resam bagi Ayah bila tiba musim sebegini ayah akan balik lebih awal dari menoreh getah kerana cuaca panas sedikit pada waktu itu, tambahan pula pada waktu sebegitu susu dari pokok getah akan cepat menyejat.
Matahari mulai menegak di atas kepala dimana waktu zohor akan tiba tidak lama lagi. Ayah dan saya yang baru sahaja pulang dari kebun getah di kawasan kaki Gunung Bunggsu. Boleh di katakan agak jauh dari rumah kami yang berada di Sungai Taka , kami menoreh getah secara pawah dua bahagian dengan tuan pokok getah (bahagi dua), itulah sahaja sumber pendapatan seharian kami sekeluarga sebagai orang kampung.
Seperti kebiasaan di rumah apabila kami pulang daripada menoreh getah saya dan ayah akan duduk di atas pangkin bawah pokok ketapang sebesar satu pemeluk kerana daun pokok yang rinbun melindungi kami daripada kepanasan matahari, sambil membuang sisa-sisa getah yang terlekat di celah-celah jari. Emak seperti biasa akan menghidangkan air kopi panas dengan sedikit ubi kayu yang di rebus sebagai hidangan ringan sebelum makan tengah hari, inilah sikap ibu yang cukup memahami menjaga kehendak suaminya bila pulang dari kerja…
Ayah hanya tersenyum melihat emak menuang air kopi ke dalam cawan sambil tangannya masih lagi menggosok jejarinya untuk membuang sisa-sisa getah yang masih tertinggal, saya tidak memperdulikan gelagat ayah dan emak kerana perut saya berasa begitu lapar sekali bila pulang dari kebun. Kami hanya minum secawan kopi dan makan sepinggan nasi goreng sahaja pagi tadi sebelum pergi menoreh getah.
Bunyi motosikal menghampiri rumah kami, saya amat pasti itu adalah motosikal Aris bomoh yang tinggal di kepala jalan yang tidak jauh dari kampung yang kami tinggal. Tekaan saya tidak meleset memang benar Aris yang datang dengan motorsikal honda lima puluh cc kesayangannya.
“Bang Hasan”Aris memanggil ayah..
“Ada apa Aris? Sampai salam pun tak sempat nak bagi nie” jawab ayah..
Aris hanya tersenyum sambil menongkat motosikal honda lampu bulat lima puluh ccnya lalu turun bersalam dengan ayah dan saya, sambil berkata…
“ Habis abang Hasan menoreh hari ini?”
“Tak” jawab ayah pendek dengan nada perlahan…
“Dari mana ni Aris?” tanya ayah sambil menuang air kopi yang masih panas untuk tetamunya..
“Dari rumah, inilah yang datang jumpa Abang Hasan sebab ada nak minta tolong sikit nie” kata Aris sambil menyambut cawan kopi yang di hulurkan oleh ayah kepada Aris..
“Ini mesti ada sebab...kalau tidak hang susah nak mai rumah aku ni” kata ayah dalam loghat Kedah.
Sebab ayah cukup faham Aris payah hendak meninggalkan rumahnya kerana ramai tetamu yang datang kerumahnya untuk berubat. Aris boleh dikatakan seorang bomoh yang terkenal di Kampung Kenangan berhampiran Sungai Taka. Walaupun Aris tidak berbadan besar tetapi otot yang berulas dapat dilihat dan bermisai tebal,kulitnya sedikit cerah.
“Aku nak minta Abang Hasan tolong tengokkan anak saudara aku yang tinggal di Kampung Lobak dekat Mahang” kata Aris sambil membalut rokok daun nipah dengan tembakau jawa yang dibawanya.
“Masalah apa Aris anak saudara hang tu” tanya Ayah pada Aris.
“Entahlah Abang Hasan, dah bermacam cara aku merawat budak tu, tak juga sembuh”. Aris menjawab perlahan sambil menghembuskan asap tembakau yang di balutnya tadi.
“Itulah yang aku datang nak minta tolong Abang Hasan tolong tengokkan budak ini” kata Aris.
Ayah tidak berkata apa-apa cuma mendengar apa yang di sampaikan oleh Aris sahabatnya itu.
“Abang Hasan, saya mintak tolong bantu saya untuk tengokkan budak ini sebab saya tahu Abang Hasan tahu hal-hal yang rumit ini” pinta Aris dalam nada yang amat mengharap pertolongan dari ayah.
“Jangan harapkan aku sangat Aris, sebab aku pun bukan pandai dalam nak merawat penyakit misteri yang pelik ini” kata ayah pada sahabatnya kerana tidak mahu sahabatnya menaruh harapan tinggi sekiranya beliau tidak mampu merawat penyakit anak saudaranya itu.
“Harap Abang Hasan bantu anak sauadara saya kali ini, sebab dah nak masuk tiga bulan dia sakit menjerit terlolong bila tiba waktu malam” kata Arif sambil matanya memandang ke tanah mengharapkan bantuan dari ayah untuk merawat anak sauadaranya.
“Baiklah Arif, lepas asar kita pergi tengok anak saudara hang”… kata ayah pada Arif.
Dengan wajah ceria Arif tersenyum kerana ayah tidak menolak permintaannya sambil menghabiskan air kopi didalam cawannya.
Selepas sahaja sembahyang asar Arif telah datang ke rumah dengan motosikal lampu bulat honda lima puluh ccnya untuk menjemput ayah pergi rumah anak saudara yang terkena penyakit misteri di Kampung Lobak dekat dengan Mahang Kedah.
“Kita pergi dua biji motosikal ye Arif” kata ayah pada Arif.
“Ikut Abang Hasan sahaja kalau macam tu.” jawab Arif sambil memakai topi keledar putih di kepalanya.
“Aku nak bawa Dii [ Rosdi ] pergi sekali sebab senang disuruh kalau ada apa-apa nak minta tolong cari barang bila nak berubat nanti” kata ayah sambil memakai baju kemeja lusuhnya yang berwarna putih.
Arif hanya mengangguk tanda setuju. Dihati saya amat gembira sekali kerana ayah mengajak pergi bersamanya untuk merawat penyakit misteri di kampung seberang, kerana bila ada sahaja penyakit ganjil dan misteri saya amat tertarik sekali untuk melihat cara dan rawatannya.
Bila tibanya kami di rumah anak saudara Arif yang sakit misteri itu, kami lihat orang ramai sedang menunggu ketibaan kami. Kami disambut dengan salaman oleh Ayah budak lelaki yang sakit itu dengan memperkenalkan dirinya Hj Ahmad. Ayah menyapa dengan senyuman sambil bersalam dengan Hj Ahmad dan orang yang ada di sekelilingnya.
“Macam mana boleh jadi begini, Haji? ” tanya ayah bila kami berada dalam rumah Hj Ahmad, untuk memecahkan kesunyian pada masa itu.
‘”Anak saya sakit sebegini selepas dia balik dari berburu di hutan Mahang tiga bulan dahulu selepas dia menembak seekor kijang jantan. Bila keluar sahaja dari gigi rimba, anak saya terus menjerit-jerit seperti kijang dan cuba melarikan diri ke dalam hutan. Nasib baik dapat ditangkap oleh kawan-kawan yang pergi memburu bersama dia pada masa itu” Hj Ahmad menjawab pertanyaan ayah.
“Apa nama anak ini Haji?” tanya ayah pada Hj Ahmad.
“Nama anak saya Saidin dan umur dia dah 34 tahun” jawab Hj Ahmad dengan nada kerisauan.
Lalu ayah meminta izin untuk pergi melihat keadaan Saidin yang masih di ikat pada sebatang tiang seri di tengah rumah, sambil mulutnya terkumat-kumit seperti membaca sesuatu.
Pada masa itu saya melihat mata ayah memandang tepat ke wajah Saidin tanpa berkelip.
Kemudian Saidin menjerit-jerit sambil melompat kerana ingin melepaskan diri dari tiang seri, seperti seekor kijang yang terkena jerat pemburunya. Nasib baik tubuh Saidin dapat dipeluk oleh lelaki bertubuh besar dan kulitnya sedikit gelap yang ada di situ pada waktu itu, agar Saidin tidak meronta melepaskan diri daripada ikatan di tiang seri.
Ayah hanya tersenyum kemudian menggigit bibirnya dengan matanya terpejam sambil melepaskan nafasnya seperti mengeluh.
“Budak ini menembak kijang yang ada penjaga” kata ayah dengan nada lembut kepada Hj Ahmad.
“Betul Abang cakap tu” Hj Ahmad memanggil abang kepada ayah saya.
“Tolonglah bantu anak saya Abang” Hj Ahmad meminta tolong kepada ayah saya dengan wajah yang amat sedih. Hj Ahmad telah menceritakan anaknya yang sakit itu adalah anak tunggalnya..
“In Sha Allah saya akan cuba bantu setakat yang saya mampu” kata ayah pada Hj Ahmad.
“Apa yang perlu saya sediakan untuk merawat anak saya ini?” tanya Hj Ahmad.
“Saya hanya mahukan kepala kijang yang di tembak itu, masih ada lagikah?” tanya ayah pada Hj Ahmad.
“Ada saya tanam dibelakang rumah“ jawab Ahmad pendek.
“Baiklah. Cari tanah liat dan buat bentuk seperti seekor kijang serta kepala kijang yang diburu itu hendaklah dibawakan kepada saya, waktu merawat anak Haji nanti”pinta ayah kepada Hj Ahmad.
“Bila saya nak sediakan semua barang itu Abang”tanya Haji Ahmad kepada ayah seperti tidak sabar untuk meminta ayah merawat anaknya.
Ayah hanya terdiam bila ditanya oleh Hj Ahmad, sambil beliau mengetapkan bibirnya kerana ayah sedang mengira hari bulan Islam, untuk hari yang sesuai sekiranya mahu membuat rawatan seperti masalah anak Hj Ahmad ini.
Saya cukup faham dengan sikap ayah yang tidak suka terburu-buru bila hendak melakukan sesuatu rawatan, kerana ayah akan mengira hari yang sesuai sama ada hari terbuka atau hari tertutup serta mengira hari yang untung , tuah, celaka dan malang sekiranya beliau melakukan rawatan yang berat seperti itu. Ini adalah salah satu cara untuk ayah melihat hari yang musuhnya lemah, barulah ayah akan mendapat kemenangan yang mudah bila bertarung.
“Siapa yang pergi lagi bersama Saidin waktu memburu ketika itu?”tanya ayah kepada lelaki yang berbadan besar dan berkulit gelap yang berada di kiri ayah.
“Saya pergi bersama Saidin pada hari tu”jawab lelaki itu.
“Kalau diikutkan keadaan pesakit ini, semasa kamu semua pergi berburu ada membuat perjanjian, tetapi kamu semua tidak tunaikan”kata ayah kepada lelaki yang berbadan besar itu.
“Betul Pak Long” lelaki itu memanggil Pak Long kepada ayah.
“Mat dengan Saidin terlupa mengambil serba sedikit dari binatang buruan kami untuk di tinggalkan di gigi rimba semasa hendak pulang ke rumah pada hari itu Pak Long”lelaki yang menamakan dirinya Mat menceritakan kekesalan atas kelalaiannya.
“Dari mana kamu belajar ni Mat?”tanya ayah pendek kepada lelaki itu.
“Saya menerima ilmu ini daripada bapa saudara saya dari Kelian Gunung Ijok Pak Long” Mat mula menceritakan bagaimana dia menerima ilmu memanggil binatang buruan daripada bapak saudaranya dan kini bapa saudaranya telah meninggal dunia.
Ayah mula menceritakan ilmu ini adalah salah disisi agama kerana pengamal ilmu ini akan bersekutu dengan Jin di rimba, setiap kali orang yang menburu dengan bantuan Jin dari rimba mereka harus mengambil serba sedikit dari binatang buruan mereka seperti kulit, daging, lidah,hati, jantung, limpa dan perut lalu di masukan kedalam bekas yang diperbuat daripada daun dan diletakkan di gigi rimba sebagai syarat bila mengambil binatang yang telah mereka dapat.
Sekiranya pemburu tidak menunaikan syarat itu Jin dari rimba yang menjaga binatang itu akan menuntuk jiwa sebagai ganti, terang ayah kepada Mat dan orang yang berada di situ pada hari itu.
Ayah mula bercerita sekiranya untuk merawat pesakit seperti ini dengan mudah, perawat hendaklah mengetahui alam Jin dan sejarah kehidupan Jin barulah perawat dapat mengalahkan Jin itu dengan mudah, kerana perawat itu telah mengetahui kelemahan musuhnya.
Saya hanya memasang telinga apabila ayah mula menceritakan asal usul penunggu pengembala yang selalu mengacau pemburu di rimba.
Ayah mula bercerita kepada mereka yang berada di rumah Hj Ahmad tentang asal usul penunggu rimba. Sewaktu zaman dahulu kala dimana orang masih belum beragama lagi, masyarakat dahulu telah memuja Dewa dan Jin sebagai tuhan yang memberi rezeki.
Masyarakat kampung pada ketika itu sekiranya musim menanam padi maka ramai-ramai akan bergotong royong menanam padi dan sekiranya pada musim menuai padi maka ramai-ramai akan menuai padi, itulah kehidupan masyarakat pada masa itu.
Dalam masyarakat kampung itu ada sepasang suami isteri ,si suami bernama Marangkuang dan isterinya bernama Namik yang baru sahaja mengandung bermimpi memakan daging rusa putih, lalu si suami pergi memburu untuk mendapatkan rusa putih.
Sepanjang pemburuan, si suami hanya melihat rusa biasa sahaja dan tidak menemui rusa putih sepertimana yang telah dimimpikan oleh isterinya. Si suami pulang dengan rasa hampa dan kecewa kerana tidak dapat memenuhi keinginan isterinya.
Keesokan harinya si suami pergi memburu lagi dengan harapan beliau dapat membawa balik rusa putih untuk isterinya tetapi masih pulang dengan kehampaan. Maka si suami pergi memburu dari hari balik hari terus kepada minggu dan akhirnya tidak lagi pulang ke rumah sehinggalah si isteri melahirkan anak lelakinya yang dinamakan Menut.
Sehinggalah anaknya sudah besar dijaga oleh ibunya dan bila anak itu telah berumur dalam dua puluhan si anak mula bertanya tentang ayahnya. Lalu si ibu pun menceritakan kisah ayahnya yang telah pergi memburu rusa putih sehingga hari ini tidak lagi pulang ke rumah.
Si anak terlalu ingin bertemu dengan ayahnya dan meminta izin kepada ibunya untuk mencari ayahnya yang telah pergi memburu di rimba sehinggakan tidak pulang ke rumah, lalu si ibu menyediakan sedikit bekalan untuk si anak ketika mencari ayahnya di dalam hutan belantara.
Semasa dalam perjalanan mencari ayahnya, si anak telah mendapat petunjuk di mana ayahnya berada, lalu ia dengan mengikut petunjuk itu ia telah bertemu ayahnya sedang bertapa, sedih si anak bila melihat keadaan ayahnya yang di baluti oleh akar di seluruh badannya serta kuku yang amat panjang sehingga ke kaki.
Bersambung…
0 Ulasan